House

Teladanilah Seorang Suami Bernama Muhammad..


Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.

Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!

Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan isterinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?

Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.

Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya.

Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Kepada para suami di luar sana… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.

Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu. Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w.

 

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.
%d bloggers like this: