Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) – Redha dan Mencari Bahagia
Assalamualaikum.. Ketika menulis artikel ini, kita dah berada di pertengahan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Maksudnya hampir 3 minggu kita dah berkurung, dan tak keluar rumah, melainkan betul-betul perlu untuk mencari barang keperluan.
Bosan? Masakan tidak. Jika dahulu kita bebas keluar sesuka hati, bila-bila masa yang kita mahu. Tiba-tiba kita terkurung di dalam rumah, tanpa dapat keluar seperti dulu. Jika dulu saya boleh saja keluar mencari nasi lemak di waktu pagi, sekarang tak ada pilihan melainkan masak, itu yang paling mudah dan selamat.
Alam luar pula seolah-olah serba tak kena. Nak ke bank pun takut, bimbang pintu bank, mesin ATM, hatta beli barang pun bimbang ada virus yang melekat padanya.
Berjumpa sesama sahabat juga seakan berjaga-jaga. Kita tak tahu siapa yang membawa virus Covid-19 dalam badannya. Bersalaman langsung tidak, berlaga pipi jauh sekali, malahan kita mengamalkan ‘social distancing' 1 meter sesama kita.
Ya.. Allah sedang menguji.. Dia mahu kita muhasabah semula diri kita. Ibadah kita.. mungkinkah semua yang berlaku ini kerana dosa-dosa kita juga.. Tidak mungkin coronavirus ini bertebaran luas jika tanpa izinNya. Ada sesuatu di sebalik semua ini, di mana kita harus belajar redha dan yakin Allah sedang mengatur yang terbaik untuk kita.
Buat yang tak dapat bekerja, tak dapat berniaga.. bersabarlah. Ada rezeki lebih besar menanti, inshaAllah. Jika boleh melakukan bisnes secara online, mungkin inilah masanya untuk anda memahirkan diri selok-belok perniagaan secara online pula.
Cuma beberapa perkara yang saya melihat PKP ini sebagai sesuatu yang perlu disyukuri. Sebagai seorang ibu, saya melihat PKP ini menyatukan sesebuah keluarga dengan sangat erat.
Jika dahulu mungkin ibu ayah sibuk bekerja, namun kini keduanya berada bersama-sama 24 jam dengan anak-anak. Jika dahulu, anak-anak sibuk bersekolah, hanya malam ada masa bersama ibu bapa. Kini anak-anak juga banyak masa bersama kita, apa lagi jika anak yang tinggal di asrama.
Saya juga melihat PKP sebagai masa terbaik untuk kita meningkatkan amalan rohani kita. Banyak masa lapang untuk kita meningkatkan bacaan al-quran kita. Jika dulu sempat baca sehelai dua, kini Allah bagi masa untuk habiskan satu ke dua juzuk sehari pun boleh, inshaAllah. Begitu juga amalan sunat yang lain seperti solat sunat, puasa sunat dan sebagainya.
Begitu juga masa inilah ibu-ibu dapat mencuba pelbagai juadah untuk keluarga. Bapa-bapa pula dapat lebih masa duduk bersama dan berkomunikasi dengan anak isteri. Adik-beradik dapat main bersama, bergaduh bersama, makan juga bersama-sama.
Pada saya walaupun hadirnya ujian ini menghadkan pergerakkan kita, menghadkan kewangan kita, dan segala yang kita bebas lakukan suatu masa dulu, namun carilah bahagia di dalamnya. Jika kita bertemu dengan bahagia itu, inshaAllah kita akan redha atas apa yang berlaku.
Jika anda berasa sukar dan tertekan dengan perintah PKP ni, saya selalu berfikir yang bersyukurnya saya masih dapat bersenang-lenang di rumah dalam usaha memutuskan virus covid-19 ini. Berbanding petugas perubatan kita yang terpaksa memakai pakaian khas yang serba panas, bekerja lebih dari 18 jam, hingga ada yang takut balik rumah, bimbang keselamatan keluarga di rumah. Dan mereka berdepan dengan risiko dijangkiti, sedangkan kita selesa dan selamat di rumah.
Dan berita baiknya lagi, walaupun kita terpaksa mengawal diri sentiasa berada di rumah, tapi pahalanya besar tau. Kita akan mendapat pahala seperti pahala orang yang syahid. Allah.. pada saya besar sangat ganjaran pahala ini, hanya perlu menahan diri berada dirumah sahaja.. SubhanaAllah.
Terdapat beberapa riwayat yang dijadikan sebagai sandaran bagi anjuran tersebut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata : ‘’Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun, lalu baginda berkata yang bermaksud :
Sesungguhnya ia adalah azab yang Allah hantar kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah menjadikan ia sebagai rahmat kepada orang beriman. Tidak ada seorang pun saat berlakunya taun lalu dia duduk di negerinya dengan penuh kesabaran dan mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu bahawa dia tidak akan ditimpa musibah melainkan apa yang telah Allah tetapkan buatnya, melainkan dia akan mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.
Riwayat Al-Bukhari (3474
*hadis ini dirujuk DI SINI
Semoga sedikit penulisan ini membantu anda semua berasa bahagia, sentiasa bersyukur dan enjoy semasa di dalam kawalan PKP ini. Walau tak dinafikan stress tu pasti ada, saya yakin anda tahu bagaimana memanipulasi emosi anda dengan pelbagai aktiviti berfaedah, amal ibadah yang berterusan dan setiap kali stress, ingatlah balik pahala yang menanti untuk kita ya
Bertemu lagi di lain artikel.. 🙂
Leave a Reply