House

Terbalas Sudahkah Jasa Ibu?


Terdapat kisah pada zaman nabi apabila ada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda kemudian menyampaikan hasratnya menyertai baginda berjihad.  

 

Baginda menjawab bukan seperti,“Adakah kamu handal dalam menunggang kuda?”, “Adakah kamu bijak bermain pedang”, “Adakah kamu mempunyai tubuh badan yang kuat dan sihat?” Tetapi baginda bertanya kepada lelaki berkenaan “Adakah kamu masih mempunyai ibu dan bapa?” Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya sudah tiada bapa, tetapi masih mempunyai seorang ibu di rumah” .

 

Baginda berkata “Adakah ibumu tidak memerlukanmu untuk menjaganya? Lelaki berkenaan menjawab: “Semestinya dia memerlukan saya”. Baginda menasihatinya: “Pulanglah kamu ke pangkuan ibu kamu kerana sekiranya kamu berbakti kepadanya, sesungguhnya pahala yang kamu akan terima adalah sama seperti pahala jihad fisabilillah”.
Begitulah pentingnya menjaga ibu sampaikan Nabi mengatakan pahala menjaga ibu sama seperti pahala jihad. Jangan pula apabila sudah berkeluarga atau tiada dalam tanggungan keluarga kita semakin menyisihkan ibu. Perkara ini berdasarkan ‘tartibul kalimat’ iaitu susunan keutamaan seperti ditegaskan Allah menerusi beberapa firman-Nya sebagai contoh dalam Surah al-Israa’ ayat 23 yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa”.

 

Antara ibu dan bapa pastilah ibu memiliki martabat tertinggi jika merujuk kepada Sahih Muslim, Abu Hurairah meriwayatkan pernah Muawiyah bin Haidah al-Qusairi bertanya kepada Rasulullah siapakah yang wajib ditaati? Jawab Rasulullah: “Ibumu.” Tiga kali Nabi ditanya dan itulah juga jawapan yang sama diberikan. Yang terakhir barulah baginda menyatakan: “Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat.”

 

Bahkan ulama menyatakan, ada tiga jenis perintah Allah yang berangkai dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain iaitu yang pertamanya mendirikan solat dan mengeluarkan zakat; kedua, taat kepada Allah dan taat kepada Rasulullah dan ketiganya bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada ibu bapa. Ketiga-tiga perintah ini mesti serangkai dan Allah tidak akan menerima yang satu tanpa gandingannya. 

 

Ibu mendapat martabat yang tinggi adalah kerana peranan terbesar mereka mengandungkan kita dan ia tidak mampu dipikul mana-mana lelaki. Sambutan Hari Ibu belum cukup untuk membalas jasa ibu selama ini. 

 

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah berkenaan seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

 

Namun, usaha adik-beradik untuk sama-sama meluangkan masa balik kampung dan berkumpul kemudian mengadakan majlis makan bersama meraikan ibu tercinta boleh menjadi permulaan kepada satu usaha yang baik. Kegembiraan ibu melihat anak pulang berkumpul itu saja sudah menjadi satu ibadah. Adalah menjadi dosa besar kepada anak yang menderhaka terhadap ibu bapa.

 

Dalam al-Adab al-Mufrad ada mencatatkan sembilan jenis dosa besar yang dimurkai Allah dan antaranya menghina ibu bapa dan (menyebabkan) ibu bapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua). Allah mewajibkan anak memuliakan serta menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada ibu bapa.

 

Dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”



Justeru, berbaktilah kepada mereka sementara mereka masih hidup. Jangan apabila mereka sudah meninggal dunia, barulah kita mahu membina batu nisan terbaik atau mencetak surah Yasin khas untuk tahlil ke atas mereka.

 

Credit

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.
%d bloggers like this: