Kelebihan Salawat Ke Atas Nabi Muhammad S.A.W
Manusia sangat memerlukan syafaat apabila mereka dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.
Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.
Itu adalah syafaat terbesar diberikan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.” (Surah al-Mudatthir, ayat 48)
Sekiranya setiap dosa anak Adam itu terzahir dengan hitamnya wajah, sudah pasti wajah kita akan bertambah hitam setiap masa kerana dosa yang dilakukan.
Bagaimanapun, Allah SWT sentiasa menutup keaiban dan dosa yang dilakukan hamba-Nya dan memerintahkan manusia sentiasa bertaubat.
Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amat dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala.
Ketika itu, semua merayu pertolongan daripada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu? Antaranya, kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.
Hanya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW saja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzaab, ayat 56)
Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam.
Jika mati dalam keadaan tiada iman dan Islam, kita akan kekal tinggal di dalam neraka buat selama-lamanya.
Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)
Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:-
- Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
- Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
- Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
- Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
- Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.
- Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.
- Allah akan menutupi segala dukacita.
- Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat darjat al-Sidq.
- Ditunaikan segala hajat.
- Salam sejahtera pada hari kiamat.
- Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.
- Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.
- Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.
- Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.
- Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.
- Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.
- Tidak akan merasai fakir.
- Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.
- Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.
- Selawat akan menjemput setiap pengucapannya ke jalan syurga.
- Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.
- Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
- Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.
- Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.
- Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.
- Mendapat keberkatan daripada Allah.
- Mendapat kesempurnaan iman.
- Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.
- Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.
- Teguh pendirian dengan kebenaran.
Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.
Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.
Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.
Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.
Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.
Begitu banyak kelebihan ke atas Nabi Muhammad S.A.W ini, marilah kita sama-sama mengamalkannya.. tanda cinta dan kasih kita kepada baginda.. dan semoga Allah pertemukan kita semua di dalam syurgaNya. Amin
Jemput follow saya di Fb FARAH ALIAS
atau Instagram saya PAKAR_VITAMIN
Leave a Reply