House

Pengalaman Placenta Previa: Episod 3


8 Januari 2018 ialah tarikh yang saya akan ingat sampai bila-bila. Tarikh di mana saya serahkan diri ke hospital untuk “bed rest”. Perasaan? Hanya Allah yang tahu. Meninggalkan 4 anak, dengan anak darjah 1 yang baru seminggu memulakan sesi persekolahan, dan anak kecil berumur 4 tahun, bukan satu perkara mudah.

 

Sebelum serah diri, pagi tu kami terlebih dahulu menghantar anak sulung saya masuk ke asrama. Alhamdulillah dia diterima masuk ke sekolah agama yang dia mahukan. Allah Maha Mendengar doa kami. Dalam sedih dan ujian, Dia beri berita gembira ini.

 

Walaupun tarikh admit hospital sepatutnya seminggu sebelumnya, tapi saya berdegil nak lihat dulu anak sulung saya masuk asrama, dan temankan anak ketiga saya orientasi darjah 1. Sempat ambil gambar bersama dengan Arif dan juga Ammar, mana tahu ianya akan tinggal kenangan je nanti. Sungguh, masa ni emosi sensitif sangat. Kalaulah ibu tak ada nanti, kalaulah Allah jemput awal.. ada gambar ibu bersama kalian. Allahu.. sedihnya masa tu, tak dapat nak gambarkan.

 

Bersama Ammar Semasa Hari Pertama Masuk Sekolah Berasrama

 

Bersama Arif Semasa Hari Pertama Darjah 1

 

Selesai hantar Ammar ke asrama, kami singgah makan sekejap, dan terus ke Hospital Selayang. Masa sampai hospital tu, nurse bising juga, kenapa lambat datang.. tapi saya dengan muka tenang jawab.. saya nak siapkan anak-anak yang baru masuk sekolah, dan anak sulung baru hantar asrama tadi.

 

Masa tu jam dalam pukul 5 petang. Ramainya menunggu nak masuk wad, siap ada ibu mengandung yang tak segan silu berbaring di kerusi. Jangka saya dah penat sangat dah tu. Rupanya dia dah menunggu dari jam 11 pagi. Dengar je perkara tu, terus saya suruh suami balik dengan anak-anak. Ye lah, esok anak-anak nak sekolah. Kesian mereka nak tunggu lama di situ.

 

Alhamdulillah pukul 10 malam saya dah ditempatkan di Wad 5C, katil 28. Masa pendaftaran, saya minta nak wad kelas 2. Tapi nurse hantar saya ke wad kelas 3. Bila saya tanya nurse, kenapa wad kelas 3? Jawabnya.. “puan tak boleh masuk wad kelas 2, keadaan puan memerlukan pemerhatian rapi. Ni pun katil puan betul-betul tepi kaunter nurse, supaya senang kami pantau puan jika ada apa-apa”.

 

Walaupun agak geram juga, tapi redha je lah. Mungkin ini yang terbaik. Cuma yang agak frust masa tu ialah tangan saya membengkak bagai bonggol unta masa mereka nak pasang tiub. Adoi sakit tau. Dalam hati, ni baru first day, tangan dah bengkak macam ni. Lama nak duduk hospital ni.. harap-harap baik-baik ajelah semuanya. Dua kali cucuk tak berjaya, saya berdegil tak mahu cubaan kali ketiga.

 

Nampak Tak Bonggol Unta Tu?

 

Malam pertama di hospital saya tak boleh tidur, sebab wad 5C tu ialah wad bersalin. Kiri kanan semua ibu-ibu yang sedang sakit nak bersalin, dan ramai juga yang baru je bersalin. Bila duduk dalam wad bersalin ni, biasalah, bunyi baby menangis bersahut-sahut mesti ada. Belum kira bunyi ibu mengerang menahan sakit nak melahirkan. Cubaan betul nak tidur malam-malam.

 

Mujur masa tu musim hujan. Jadi walau duduk di wad tiga, tak panas. Oh ya, Hospital Selayang wad kelas 3 sangat selesa. Walau wad kelas 3, setiap pesakit ada satu seorang kipas atas katil masing-masing. Dan wad kelas 3 cuma ada 6 katil je. Ruang agak besar, selesa dan tak panas.

 

Jadi, pada saya wad kelas 3 bukan masalah, masalahnya cuma suara baby baru lahir yang bersahut-sahut sepanjang malam menyebabkan saya sukar tidur.. Dalam pada seronoknya dengar suara baby, hati berkata-kata.. mungkinkah sempat daku bertemu bayiku ini. Kepada Allah saya panjatkan doa, semoga ibu dan baby dua-dua sihat dan selamat, inshaAllah.

 

Dan malam itu saya tidur dalam linangan air mata..

 

Bersambung lagi episod seterusnya..

 

Bagi yang belum berkesempatan baca dari episod 1, boleh klik DI SINI

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.
%d bloggers like this: